Kota Kinabalu: Hanya satu pakej baharu projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, diluluskan kerajaan persekutuan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia menjadikan sebanyak 15 pakej dilaksanakan ketika ini membabitkan kos RM7.98 bilion ketika ini.
Beliau berkata, pakej itu membabitkan pembinaan jalan sepanjang 317.6 kilometer dengan pembiayaan kerajaan persekutuan.
“Baki sebanyak 19 pakej, tidak termasuk tiga pakej tambahan, masih menunggu kelulusan peruntukan yang selanjutnya daripada kerajaan persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata secara keseluruhan, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo membabitkan tiga fasa sepanjang
1,236 km dengan kos RM40.2 Billion.
Katanya, fasa pertama sepanjang 706 kilometer dengan kos keseluruhan RM15.2 bilion membabitkan pelaksanaan 35 pakej.
Bung Moktar berkata, pelaksanaan kerja bagi pakej yang sudah diluluskan berada pada landasan yang tepat dan sedang dalam proses pembinaan.
Bagaimanapun, katanya Kementerian Kerja Raya negeri akan memberi perhatian terhadap kerja pelaksanaan semua pakej pembinaan lebuh raya itu.
“Mengenai kelewatan dua pakej iaitu dari Beaufort ke Sindumin pula, kedua-dua pakej ini sedang dipantau rapi oleh pihak JKR Sabah. Prestasi fizikal bagi pakej pertama sudah mencapai 59 peratus, manakala bagi pakej dua pula sudah mencapai 30 peratus.
“Pakej pertama yang menghadapi sedikit kelewatan disebabkan pengalihan utiliti seperti tiang eletrik dan sub-station. Selain daripada itu faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan bilangan pekerja juga menyumbang kepada kelewatan ini,” katanya.
Katanya, JKR Sabah juga senantiasa memberi peringatan kepada kontraktor pelaksana lebuh raya itu untuk menyelenggara jalan sedia ada yang masih menjadi laluan rutin masyarakat.
Jelasnya, penyelengaraan berkala sudah dimasukkan dalam skop kerja Kontraktor yang terbabit.
“Bagaimanapun, sekiranya kontraktor terbabit gagal menyempurnakan tanggungjawabnya, kerajaan boleh melantik pihak ketiga untuk melakukan kerja berkenaan dan kos kerja itu nanti akan dituntut daripada kontraktor utama,” katanya.
Beliau menambah, JKR Sabah juga sentiasa memastikan sistem perparitan di sepanjang laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo tidak menjadi faktor berlakunya banjir dan selalu diselenggarakan.
-Deasoka