Semporna: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke perairan negara ini berjaya diusir ketika menghampiri kawasan utara Pulau Pom Pom, di sini, semalam.
Kedua-dua individu yang dipercayai dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan Semporna kira-kira jam 9 pagi dalam rondaan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, sebaik bot yang dinaiki warga asing berkenaan dikesan, anggota PPM terus menahan untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan perahu berkenaan dinaiki dua lelaki dewasa berbangsa Bajau datang dari arah perairan Filipina dan cuba memasuki perairan negara.
“Pengusiran terud dibuat dan perahu berkenaan diiringi keluar dan diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara.
“Ia selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.
-Deasoka