Dua ditahan, cuba seludup minyak masak bernilai hampir RM30,000

Dua ditahan, cuba seludup minyak masak bernilai hampir RM30,000

Semporna: Dua lelaki ditahan selepas dikesan cuba menyeludup keluar 760 paket minyak masak dalam operasi Op Benteng Covid-19 dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Dalam operasi jam 6.30 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 24 dan 31 tahun berkenaan dikesan menaiki bot berkapasiti dua enjin di perairan utara Pulau Mataking, di sini.


Minyak masak yang dirampas oleh anggota Batalion 14 PGA Tawau dalam Op Benteng.

Bot yang berkenaan dilihat bergerak laju dipercayai dalam perjalanan dari Semporna menghala ke perairan negara jiran, Filipina.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, anggota Batalion 14 PGA Tawau yang menjalankan rondaan Op Benteng Covid terus mengejar bot berkenaan.

Katanya, sebaik ditahan pemeriksaan mendapati bot berkenaaan membawa dua gelen berisi 25 liter minyak petrol bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 760 paket minyak masak cap kuali yang dianggarkan bernilai RM1,900 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku cuba menyeludup keluar barangan berkenaan dipercayai untuk Pulau Sitangkai, Filipina,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek dianggarkan bernilai keseluruhan RM29,032 termasuk dua enjin dan bot yang digunakan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalana Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|