Semporna: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengusir 21 warga Filipina termasuk lapan kanak-kanak yang cuba menyusup masuk ke negeri ini melalui perairan Bohey Dulang, di sini, Khamis lalu.
Semua individu terbabit berusia lingkungan setahun hingga 53 tahun ditahan anggota Batalion 14 PGA Tawau menerusi Op Benteng Covid-19, jam 1.30 tengah hari.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan rondaan di kawasan perairan Bohey Dulang, telah mengesan dan menahan empat bot menuju ke arah Semporna.
Katanya, hasil pemeriksaan terdapat lapan lelaki, lima wanita dan lapan kanak-kanak berada di atas bot berkenaan tanpa memiliki dokumen pengenalan diri.
“Soal siasat ke atas juragan-juragan bot berkenaan didapati mereka dari Zamboanga, Filipina dan sedang menuju ke Semporna.
Anggota PGA menghalau keluar empat bot dinaiki 21 warga Filipina di perairan Bohey Dulang, Semporna. Gambar ihsan PGA
“Pemeriksaan seterusnya tiada menemui sebarang benda yang salah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, susulan itu, tindakan pengusiran dilakukan dan bot-bot diiringi keluar dari perairan negara.
“Kira juga turut mengarahkan semua mereka supaya tidak memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. Laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya.
“Anggota PGA akan meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke negeri ini serta kegiatan jenayah rentas sempadan pada setiap masa,” katanya.
-Deasoka