Denggi, Sabah duduki empat teratas

Denggi, Sabah duduki empat teratas

KOTA KINABALU: Negeri Sabah berada di kedudukan keempat tertinggi mencatakan kes demam Denggi di seluruh negara.

Kedudukan Sabah adalah selepas negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Johor.

Setakat 10 Jun lalu, penyakit demam Denggi di negeri Sabah adalah sebanyak  759 kes, dengan bilangan wabak aktif sebanyak 11 dan kumulatif bilangan wabak sebanyak 58.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi bagaimanapun berkata, kes demam Denggi di negeri Sabah menunjukkan tren penurunan secara berterusan sejak tahun 2020.

“Penurunan pada tahun ini adalah sebanyak 68 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Penurunan ini sememangnya kita diraikan, namun kita tidak boleh leka,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat dua kes kematian di Sabah dilaporkan dengan melibatkan daerah Semporna dan daerah Tawau.

Sementara itu, Dr Christina berkata, trend penurunan terbabit disebabkan oleh banyak faktor dan keadaan semasa pandemik Covid-19 seperti kawalan pegerakan, keberadaan penghuni di dalam rumah dan kurangnya sampah sarap akibat aktiviti manusia dan sebagainya.

“Namun apabila kehidupan manusia kembali seperti dahulu, kita boleh menjangka bilangan kes demam Denggi akan naik semula.

“Justeru, kita perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti pencegahan yang mampan dan secara berterusan untuk memastikan tren penurunan ini berlanjutan”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Denggi ASEAN 2021 yang disambut semalam (Rabu).

Untuk makluman, tema Hari Denggi ASEAN pada tahun ini ialah “10 minit Hapuskan Aedes”.

Tema ini bertujuan menerapkan kesedaran masyarakat untuk melapangkan 10 minit dalam seminggu untuk aktiviti membersihkan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dikawasan jagaan masing-masing.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|