327 KIR terima bantuan bakul makanan

327 KIR terima bantuan bakul makanan

Nabawan: Seramai 327 Ketua Isi Rumah (KIR) yang diletakkan dalam Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga kampung Daerah Nabawan menerima bantuan bakul makanan.

Bantuan itu disumbangkan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu majlis penyerahan ringkas, semalam.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, bantuan bakul makanan ini diberikan bagi meringankan beban mereka tidak dapat keluar untuk bekerja dan membeli barang keperluan.

Katanya, beliau juga sudah memohon kepada Pusat Kawalan Bencana Daerah (PKOB) Nabawan untuk melihat keperluan penduduk terutamanya bagi kawasan yang dikenakan PKPD.

“Dalam tempoh begini kita perlu memastikan penduduk terbabit mempunyai bekalan makanan mencukupi.

“Disamping itu, saya juga ingin mengajak semua pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama membantu dalam menghulurkan sumbangan seperti ini,” katanya.

Arthur berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Murni C, Kampung Indah dan Kampung Pulutan, di sini.

Turut hadir Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jonu Moinjil dan Pegawai Kebajikan Daerah Nabawan, Andy Fatmal Mohamad Ikhsan.

Arthur berkata, semua pihak perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan dengan mengurangkan pergerakan dan hanya keluar sekiranya mempunyai keperluan yang penting.

Katanya, ia bagi mengembalikan daerah Nabawan sebagai zon hijau sepertimana pernah dicapai suatu ketika dahulu.

Dalam perkembangan lain, Arthur menyeru kepada semua penduduk untuk memberi sokongan kepada usaha kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Katanya, pelaksanaan pelan itu adalah penting bagi mengurangkan jangkitan covid dan memulihkan ekonomi negara.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|