Dapur, tong gas untuk mangsa banjir di Kampung Sugud

Dapur, tong gas untuk mangsa banjir di Kampung Sugud

Penampang: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) mengagihkan 130 tong gas bersama dapur memasak kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Kampung Sugud, di sini.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya, berkata bantuan peralatan memasak itu diserahkan sempena lawatan susulannya petang tadi.

Katanya, peralatan memasak adalah antara senarai keperluan penduduk mangsa banjir di kampung berkenaan yang perlu disegerakan untuk kegunaan mereka.

“Berikutan lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam, kita menyenaraikan beberapa keperluan yang mendesak untuk diberikan kepada penduduk mangsa banjir lumpur.

“JPKA telah berusaha untuk mendapatkan bekalan tong gas dan ‘stove’ tempat memasak bagi membolehkan penduduk yang terjejas memasak di kediaman masing-masing.

“Hari ini, saya bersama Timbalan Pengarah JPKA, Natelie Gaban dan Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, menyerahkan 130 unit tong gas dan stove untuk keluarga yang terjejas,” katanya kepada media selepas lawatan di Kampung Sugud, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey turut menyatakan harapannya agar kerajaan persekutuan dapat menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada semua mangsa banjir yang terjejas teruk di daerah ini.

“Saya difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad turut melawat kampung ini sebentar tadi dan Pegawai Daerah telah memaklumkan keperluan mendesak untuk tujuan pembersihan di kampung ini.

“Kita berharap kerajaan persekutuan dapat memberikan bantuan yang sewajarnya dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sebelum itu, Abd Latiff meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk meninjau kesan banjir selain bertemu dengan penduduk yang terjejas di kampung berkenaan.

Penduduk Kampung Sugud antara yang terjejas teruk akibat banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan pada Rabu minggu lau yang menyebabkan banyak kerosakan harta benda, selain meninggalkan kesan lumpur tebal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|