Covid-19 Sabah: Majlis perkahwinan cetus kluster baharu di Lahad Datu

Covid-19 Sabah: Majlis perkahwinan cetus kluster baharu di Lahad Datu

Kota Kinabalu: Kluster Sawit Baiduri yang dilaporkan di Lahad Datu hari ini dipercayai tercetus akibat penganjuran majlis perkahwinan membabitkan anak seorang lelaki warga Indonesia yang menjadi kes indeks kluster berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kes indeks berumur 47 tahun itu disahkan positif COVID-19 pada 11 Ogos lalu setelah bergejala sehari sebelum itu.

“Turut didapati positif ialah anak kepada kes indeks. Pengesanan secara aktif dan saringan bersasar terhadap 178 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kontak rapat kemudiannya mengesan 77 kes positif termasuk 43 kes baharu hari ini, manakala 101 individu didapati negatif saringan pertama.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan namun siasatan awal mendapati terdapat majlis perkahwinan pada 6 Ogos 2021 yang disyaki menjadi punca penyebaran wabak.

“Kes indeks adalah bapa kepada pengantin dalam majlis perkahwinan itu. Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini sudah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini mencatat 2,103 kes baharu dengan 15 lagi kes kematian iaitu tiga kes di Kota Kinabalu, manakala masing-masing dua kes di Papar, Tawau dan Putatan, diikuti masing-masing satu kes kematian di Penampang, Keningau, Tuaran, Kunak, Kota Marudu dan Kinabatangan.

Seramai 652 pesakit COVID-19 pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 5,153 pesakit sedang menerima rawatan dengan 168 orang daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 65 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|