100 jemaah dibenarkan solat Jumaat di Sabah

100 jemaah dibenarkan solat Jumaat di Sabah

Kota Kinabalu: Jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah di Sabah masing-masing ditingkatkan kepada 100 orang dan 50 orang atau satu pertiga luas ruang utama masjid dan surau, berkuat kuasa hari ini.

Ia sejajar dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebagai panduan kepada umat Islam beribadah dan menghindari penularan Covid-19.

SOP itu turut menyatakan keutamaan hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat berjemaah diberikan kepada jemaah yang sudah mengambil vaksin Covid-19 sejajar usaha mengawal penularan virus berkenaan.

Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul, berkata kebenaran aktiviti solat lima waktu itu mengambil kira Maqasid al-Syar’ieyyah dan laporan terkini mengenai kepatuhan masyarakat Islam terhadap SOP sedia ada.

“Perkara ini merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas SOP COVID-19 Bagi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah yang terdiri daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, JHEAINS, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SOP sebelum ini yang dikeluarkan pada Jun lalu, hanya membenarkan seramai 12 jemaah yang terdiri daripada Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid atau surau untuk menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah.

Saifulzaman berkata, majlis tahlil sempena sambutan Maal Hijrah, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia juga dibenarkan dengan kehadiran sehingga 100 orang bagi masjid utama, manakala 50 orang bagi masjid kariah atau institusi berkaitan.

Bagaimanapun, katanya upacara akad nikah hanya dibenar diadakan di pejabat agama dengan kehadiran maksimum seramai lapan orang sahaja.

“Aktiviti di masjid atau surau secara bersemuka seperti kuliah, majlis ilmu akad nikah, majlis kenduri dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Bagi solat Jumaat, katanya laungan azan dibuat mengikut waktu Zohor, disusuli khutbah pertama dan kedua menggunakan teks disediakan JHEAINS selama maksimum 10 minit, manakala solat Jumaat dipendekkan kepada maksimum tujuh minit.

Katanya, kehadiran jemaah tertakluk kepada SOP ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain tidak menggalakkan kehadiran golongan berisiko dan kanak-kanak bawah 10 tahun serta melarang sama sekali kedatangan individu bergejala dan kontak kes COVID-19.

Beliau berkata, JHEAINS turut membenarkan aktiviti solat jenazah diadakan dengan kehadiran seramai 12 orang terdiri daripada ahli keluarga terdekat simati.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|