Covid-19 Sabah: Kes harian naik semula

Covid-19 Sabah: Kes harian naik semula

Kota Kinabalu: Selepas mencatat 497 kes semalam, kes harian Covid-19 di Sabah melonjak semula kepada 695 kes hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menyifatkan peningkatan sebanyak 198 kes itu agak tinggi walaupun sedar memang berlaku turun naik kes setiap hari.

“Faktor yang mempengaruhi peningkatan itu ialah pertambahan kes baharu yang agak tinggi di beberapa daerah seperti Kota Belud (+75 kes), Beaufort (+33 kes), Kudat (+29 kes), Tenom (+23 kes), Pitas (+23 kes), Kota Marudu (+22 kes), Keningau (+19 kes) dan Ranau (+18 kes).

“Kota Belud merekodkan kes tertinggi berbanding daerah lain di Sabah hari ini dengan 123 kes. Ia juga daerah tunggal yang mencatatkan kes tiga angka. Daripada jumlah itu, 34 kes berpunca daripada saringan bergejala, saringan kontak rapat (30) dan 53 kes berpunca daripada saringan tempat kerja.

“Bagaimanapun, sebanyak 91 daripada 123 kes di Kota Belud hari ini adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, hanya tiga daerah yang mencatatkan penurunan dua angka hari ini iaitu Kota Kinabalu (-19 kes), Putatan (-19 kes) dan Beluran (-10 kes).

Katanya, daripada 695 kes yang dicatat hari ini, 448 kes atau 64.46 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Yang selebihnya adalah kes yang lewat didaftar dua hari atau lebih lama setelah keputusan saringan diketahui. Selain Kota Belud, daerah lain yang mencatatkan kes lewat daftar yang tinggi ialah Tenom (40), Kota Kinabalu (33), Papar (19), Tawau (18) dan Penampang (15).

“Daripada keseluruhan kes yang direkodkan hari ini, 96.12 peratus adalah kes dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan di rumah atau di PKRC.

“Hanya empat kes berada dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5. Sebanyak 20 kes lagi masih dalam penilaian pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Masyarakat digesa untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerana faktor yang mempengaruhi perubahan angka setiap hari adalah sikap kita sendiri,” katanya.

Masidi berkata, analisis kes yang dilaporkan hari ini menunjukkan kes sporadik masih tinggi iaitu hampir 33.7 peratus daripada keseluruhan kes harian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|