Naikkan harga lantai getah elak pekebun kecil beralih ke tanaman lain – Mahdzir Khalid

Naikkan harga lantai getah elak pekebun kecil beralih ke tanaman lain – Mahdzir Khalid

Tuaran: Cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram akan mengelakkan pekebun kecil getah beralih ke tanaman komoditi lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jika harga komoditi itu masih di tahap lama, pekebun kecil getah akan beralih ke tanaman komoditi lain yang harganya lebih tinggi terutama kelapa sawit.

“Bila ada perbandingan antara harga getah dan kelapa sawit, ramai pekebun kecil pergi tanam kelapa sawit kerana harga getah itu (lebih rendah), sebab itu saya menyokong harga lantai getah dapat ditingkatkan.

“Walaupun ia agak sukar, kita mesti mencari jalan, kalau tidak harga lantai itu rendah dan mereka akan beralih ke tanaman kelapa sawit,” katanya selepas melawat Kilang Getah SMR Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), di Tamparuli, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Jumaat lalu, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbangkan supaya menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun depan bagi membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.

Tambah Mahdzir, jika senario pekebun kecil getah beralih ke tanaman lain berterusan, negara akan kehilangan pengeluar komoditi getah.

Selain harga lantai, ruang lebih luas untuk menjual hasil getah dan meluaskan kawasan tanaman getah adalah dua lagi perkara penting bagi membantu pekebun kecil getah meningkatkan pengeluaran sekali gus dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.

Mengenai LIGS, Mahdzir berkata, agensi kerajaan negeri Sabah itu memainkan peranan membantu 80,000 pekebun kecil getah di Sabah yang turut memberikan ruang untuk menjual hasil getah.

Ketika ini, LIGS mempunyai tiga kilang pemprosesan getah iaitu di Tamparuli, Tenom dan Beufort.

“Kilang di Tamparuli ini mempunyai 300 pekerja dengan kapasiti memproses 150 tan getah sehari dan 50,000 tan setahun.

“Selain untuk pasaran tempatan, produk getah ini juga dieksport ke luar negara antaranya China untuk pembuatan produk siap seperti tayar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|