Covid-19 Sabah: Kes baharu melonjak lagi

Covid-19 Sabah: Kes baharu melonjak lagi

Kota Kinabalu: Jangkitan baharu Covid-19 di Sabah melonjak kepada 622 kes hari ini dengan peningkatan sebanyak 96 kes berbanding 526 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia disebabkan peratusan kes sporadik yang tinggi.

“Jumlah yang tinggi ini sebenarnya tidak mengejutkan, malah sudah diramal awal dengan mengambil kira kadar peratusan kes sporadik yang tinggi (saringan bergejala).

“Peratusan kes sporadik secara konsisten berada pada tahap 35 peratus hingga 40 peratus sejak beberapa minggu ini.

“Jangkitan akan berlaku lebih cepat apabila virus berada di tengah-tengah masyarakat yang mengambil ringan keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat penjagaan kesihatan yang lain,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi berkata, sebanyak 13 daerah mencatat peningkatan kes dengan empat daerah menunjukkan peningkatan yang sangat drastik iaitu dengan Tuaran mencatat pertambahan tertinggi 57 kes kepada 76 kes hari ini.

Katanya, ia diikuti daerah Ranau dengan peningkatan 46 kes kepada 65 kes, manakala daerah Kota Belud pula mencatat peningkatan 38 kes kepada 56 kes dan satu lagi ialah Kinabatangan dengan pertambahan 35 kes kepada 39 kes.

“Pemerhatian mendapati semua 39 kes baharu di Kinabatangan hari ini adalah daripada Kluster Sawit Jati.

“Sebanyak 12 daerah lagi mencatat penurunan dengan enam daerah menunjukkan penurunan jumlah yang agak tinggi, namun jumlah keseluruhan kes bagi daerah yang mencatat penurunan tidak dapat mengatasi jumlah kes daerah yang mencatat pertambahan,” katanya.

Daripada 622 kes baharu hari ini, sebanyak 609 kes atau 98 peratus adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya bukan dalam kategori yang serius, manakala masing-masing dua pesakit adalah dalam Kategori 3 dan Kategori 4 serta tiga pesakit dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 24 November 2021
Sabah 622 (526)

Kota Kinabalu 109 (101)
Tuaran 76 (19)
Ranau 65 (19)
Kota Belud 56 (18)
Kinabatangan 39 (4)
Penampang 35 (32)
Beaufort 35 (49)
Kudat 26 (18)
Tenom 22 (18)
Papar 21 (41)
Kota Marudu 20 (54)
Kuala Penyu 16 (12)
Sipitang 15 (16)
Tambunan 14 (15)
Pitas 12 (6)
Putatan 12 (17)
Lahad Datu 11 (4)
Keningau 11 (23)
Tongod 7 (10)
Beluran 6 (4)
Telupid 5 (25)
Sandakan 4 (16)
Tawau 4 (2)
Nabawan 1 (2)
Semporna 0 (1)
Kunak 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 23 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|