CCTV pantau kejadian jenayah – Polis

CCTV pantau kejadian jenayah – Polis

Kota Kinabalu: Polis menggalakkan pemilik premis di seluruh negeri ini meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau dan memudahkan siasatan sekiranya berlaku insiden jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, ia adalah tindakan terbaik selepas merujuk kepada kejadian samun membabitkan pasar raya mini yang berlaku di Tuaran dan Beluran baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan penjenayah lebih cenderung untuk mensasarkan pasar raya mini terutama di kawasan sunyi atau kurang pengunjung.

“Jadi kita menggalakkan pemilik premis supaya meletakkan CCTV di posisi yang bersesuaian di sekitar premis mereka bagi memudahkan pemantauan dan siasatan sekiranya perlu.

“Menerusi pemasangan CCTV ini, sudah tentu kita dapat melihat individu yang masuk ke premis-premis berkenaan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah pula digantikan Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, di Bukit Aman.

Idris berkata, pemilik premis juga disarankan meletakkan CCTV di kawasan sekitar yang memudahkan pihak polis mengenal pasti kenderaan yang dinaiki penjenayah jika berlaku kes samun di kawasan berkenaan.

“Selain di pintu masuk, kita juga menggalakkan pemilik premis supaya meletakkan CCTV berhampiran mesin kaunter dan tempat parkir.

“Kita galakkan tiga lokasi ini sebab kalau tempat parkir sekurang-kurangnya kita tahu jenis dan warna kenderaan yang diguna, dapat juga membantu kita untuk menyiasat,” katanya.

Sementara itu, berhubung kes samun baru-baru ini, Idris berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan.

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu disyaki dilakukan oleh orang yang sama dan polis masih mengesan suspek dua kes ini.

Difahamkan, kes samun berkenaan membabitkan mesin wang di kaunter yang dilarikan penjenayah dan berlaku dua hari berturut-turut di daerah yang berasingan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|