KPDNHEP periksa 94,239 premis, catat rampasan lebih RM1.6 juta

KPDNHEP periksa 94,239 premis, catat rampasan lebih RM1.6 juta

Kota Kinabalu: Sebanyak 94,239 premis perniagaan di seluruh negeri diperiksa sepanjang tahun ini dan menghasilkan 1,133 kes atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, hasil daripada semua kes berkenaan, pihaknya turut merampas pelbagai barangan bernilai RM1,634,181.

Katanya, sepanjang tempoh sama juga, pihaknya mengutip kompaun sebanyak RM133,800 manakala jumlah denda bagi kes yang dituduh dan disabitkan kesalahan di mahkamah adalah sebanyak RM345,000.

“Bagi tahun 2021, kementerian sudah mengeluarkan sebanyak 99 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 kepada peniaga.

“Sebanyak 1,403 premis diperiksa mengikut OPS Pasar 2021 bagi barangan Telur Ayam, Ayam, Sayur-sayuran dan Daging Lembu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
 
Menurutnya, KPDNHEP juga menerima sebanyak 1,333 aduan pada tahun 2021 dan 1,306 kes membabitkan kira-kira 97 peratus daripada jumlah aduan diterima sudah disiasat.

Katanya, antara aduan tertinggi yang diterima adalah berhubung harga yang membabitkan 519 aduan, transaksi atas talian 372 aduan dan perkhidmatan yang mengelirukan iaitu sebanyak 165 aduan.
 
“Kerjasama erat KPDNHEP dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia terutamanya Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun ini banyak membantu dalam usaha kementerian ini membanteras percubaan penyeludupan barang-barang kawalan.

“Ia membabitkan barang-barang seperti gas petroleum cecair, minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, petrol RON95 dan diesel keluar ke negara jiran.

“Ini terbukti apabila KPDNHEP Sabah sudah mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas 64 kes serahan dengan nilai rampasan berjumlah RM817,393 yang diterima daripada agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, KPDNHEP Sabah akan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan agensi-agensi penguatkuasaan agar tindakan penguatkuasaan berterusan serta lebih efektif dilaksanakan di kawasan-kawasan perairan dan sempadan negeri Sabah.
 
Katanya, peniaga dan pengguna di Sabah juga memainkan peranan masing-masing dari segi pematuhan etika perniagaan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian ini di samping menjalankan tanggung jawab sebagai pengguna yang berhemah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|