Bot ditahan, langgar syarat sah lesen

Bot ditahan, langgar syarat sah lesen

Kota Kinabalu: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat sah lesen dalam pemeriksaan di 0.41 batu nautika selatan, Pulau Sapi, di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot berkenaan dikesan ketika rondaan rutin operasi sejahtera di sekitar perairan daerah ini.

Bot nelayan ditahan kerana melanggar syarat sah lesen. Gambar ihsan Maritim Malaysia.

Katanya, bot nelayan berkenaan ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan berikutan muatan melebihi kapasiti.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan mempunyai nombor pendaftaran yang sah, namun melakukan kesalahan dengan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

“Bot berkenaan didapati digunakan dengan membawa seramai 10 orang pemancing warga tempatan termasuk dua kru dan seorang juragan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah kerana menjadikan bot nelayan sebagai bot membawa pemancing.

Katanya, juragan dan kru bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut peraturan 11(F) Enakmen Pelabuan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

“Bot dan kru terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlabuhan dan Demaga Sabah (JPDS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, mengikut rekod, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan sebanyak 286 kes sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Katanya, 133 daripadanya adalah kesalahan dibawah JPDS termasuk alat pemadam api tamat tempoh dan tidak mempunyai jaket keselamatan.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan gagal melaporkan pertukaran nakhoda dan kesalahan kecil yang ditetapkan dalam Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

Menurutnya, jika didapati bersalah, pemilik bot akan dikenakan oleh JPDS kompaun mengikut kesalahan yang dilakukan.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di persekitaran perairan Kota Kinabalu.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi ditalian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774 atau 999 (MERS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|