Anggota Skuad Pahlawan Subuh antara 320 jemaah meriahkan sambutan Maulidur Rasul Masjid Jamek Layang-Layangan

Anggota Skuad Pahlawan Subuh antara 320 jemaah meriahkan sambutan Maulidur Rasul Masjid Jamek Layang-Layangan

Labuan: Kira-kira 320 jemaah termasuk 102 anggota skuad Pahlawan Subuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan 50 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan hadir memeriahkan sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H peringkat Masjid Jamek Layang-Layangan (MJLL) Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Majlis yang bermula selepas Solat Maghrib itu turut diserikan dengan program bual bicara ‘Aku Sayang Rasulullah’ bersama Ketua Penolong Mufti, Pejabat Mufti Labuan, Dr Ahmad Zaky Md Ali @ Tahir dengan Ketua Imam Masjid Jamek Layang-Layangan, Ustaz Muhammad Shafie Abdul Ghani sebagai moderator.

Program berkenaan dirasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustaz Sazali Rithouddin Shahabuddin.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Ahmad Jawila; Pengarah JBPM Labuan, Ismaidi Ismail; Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Layang-Layangan, Hamir Zahari dan wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, Ustaz Abdul Fatah Abdul Hafiz.

Hadir sama Ketua Kampung Layang-Layangan, Lamat Tahir dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 1, Abdul Rahim Mohd Salleh.

Majlis itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Mufti Labuan, JAWI Labuan, MAIWP Labuan, IPD Labuan dan JBPM Labuan.

Hamir berharap komitmen dan kerjasama agensi kerajaan menjayakan program itu akan berterusan dalam membantu MJLL mengadakan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan bukan sahaja untuk manfaat ahli kariah tetapi juga umat Islam keseluruhannya.

“Bagi pihak AJK MJLL, saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak semoga banyak lagi program yang bermanfaat dapat diadakan pada masa hadapan,”katanya.

Tambahnya, kehadiran skuad Pahlawan Subuh IPD Labuan menaikkan lagi semangat pihaknya untuk mengadakan program kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Turut diadakan penyampaian bakul makanan kepada 10 ahli kariah di Kampung Layang-Layangan yang kurang berkemampuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|