‘Bertempur’ di pekarangan balai polis, lima ditahan

‘Bertempur’ di pekarangan balai polis, lima ditahan

Kota Kinabalu: Polis menahan lima lelaki selepas membuat kecoh dan bergaduh di dalam perkarangan Balai Polis Luyang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, seorang lelaki berusia 29 tahun dikatakan menemani isteri kepada salah seorang penyerang untuk membuat laporan polis.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tiba-tiba diserang oleh empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun sehingga terpaksa dilerai anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mengikut laporan, lelaki terbabit dikatakan berlari meluru masuk ke kawasan balai polis selepas dikejar oleh beberapa orang lelaki.

Katanya, lelaki itu kemudiannya dibelasah empat lelaki sehingga beberapa anggota serta pegawai polis terpaksa meleraikan pergaduhan berkenaan dan terus bertindak menangkap semua individu terbabit.

“Hasil siasatan awal, kejadian berpunca daripada lelaki yang dibelasah dikatakan menemani isteri kepada salah seorang penyerang membuat laporan polis kerana dihalau suaminya.

“Semua lelaki terbabit tidak akur dengan nasihat dan teguran pasukan polis dan terus membuat kekacauan dan bergaduh di kawasan balai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, bagi mengawal keselamatan, pasukan polis terus bertindak menahan semua lelaki terbabit atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

Katanya, kejadian tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua lekaki ditahan didapati negatif dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|