Bomba selamatkan dua lelaki terperangkap dalam ruang mesin ATM

Bomba selamatkan dua lelaki terperangkap dalam ruang mesin ATM

Keningau: Dua lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30 tahun dipercayai masuk ke bank berkenaan untuk mengeluarkan wang.

Bagaimanapun, pintu bank berkenaan tiba-tina terkunci secara automatik sehingga memaksa kedua-dua mangsa menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.15 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa terlibat.

“Siasatan awal mendapati, semua mangsa terperangkap di ruangan mesin ATM terbabit selepas pintu automatik (roller) tertutup sendiri secara tiba-tiba.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian segera membuat ‘size up’ untuk membuka pintu automatik terbabit menggunakan peralatan ‘crowbar’,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan operasi menyelamatkan mangsa tamat sepenuhnya pada jam 2.38 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|