Boleh rentas negeri ke Sabah mulai hari ini

Boleh rentas negeri ke Sabah mulai hari ini

Kota Kinabalu: Penduduk bertaraf warga negara dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan dibenarkan memasuki Sabah untuk lawatan sosial tanpa perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai hari ini.

Bagaimanapun, setiap individu dewasa yang merentas negeri ke Sabah diwajibkan lengkap dua dos vaksin, selain negatif saringan Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum ke negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi remaja berumur 12 tahun hingga 18 tahun, mereka dibenarkan merentas selepas memperolehi satu dos vaksin.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, mereka juga dibenarkan merentas ke Sabah dengan syarat ditemani oleh ibu bapa yang sudah lengkap vaksin,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, tempoh berada di Sabah untuk lawatan sosial adalah berdasarkan bilangan hari yang dibenarkan dalam pas lawatan sosial berkenaan.

Katanya, bagi individu yang bekerja di Sabah, kemasukan ke negeri ini perlu mengemukakan pas kerja kepada Jabatan Imigresen, manakala pas lawatan jangka panjang bagi tanggungan mereka.

Sementara itu, katanya kemasukan penduduk bukan warga negara masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Inigresen.

Sabah adalah negeri terakhir membenarkan rentas negeri selepas membenarkan semula rentas daerah sejak 14 Oktober lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|