Kota Kinabalu: Seramai 28 individu termasuk 12 wanita warga tempatan yang leka berhibur dikompaun RM56,000 dalam Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3, di sebuah pusat hiburan di KK Waterfront, di sini, malam tadi.
Operasi bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.
Operasi berkenaan turut dibantu Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo AK Hang.
Mohd Zaidi berkata, operasi ini dijalankan di pusat-pusat hiburan untuk mengambil tindakan ke atas pengusaha dan pengunjung yang melanggar SOP PPN Fasa tiga ini.
Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas pengunjung pusat hiburan di KK Waterfront, Kota Kinabalu.
Katanya, ketika operasi dilakukan di salah sebuah pusat hiburan di tengah bandar raya ini, didapati premis berkenaan beroperasi dengan muzik yang dimainkan dan pengunjung sedang menikmati minuman keras sambil berhibur.
“Seramai 28 pengunjung termasuk 12 wanita dikompaun masing-masing RM2,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
Mohd Zaidi yang melakukan pemeriksaan dokumen pengunjung pusat hiburan dalam operasi pematuhan SOP PPN Fasa tiga.
“Turut dikenakan kompaun adalah pemilik premis sebanyak RM10,000 kerana beroperasi melebihi had masa,” katanya ketika ditemui media sebaik selesai operasi berkenaan.
Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan mendapati premis adalah pusat hiburan yang menggunakan lesen kafe dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk beroperasi.
Mohd Zaidi memeriksa lesen milik pusat hiburan berkenaan.
“Dalam operasi itu juga, polis turut menahan seorang wanita warga asing dipercayai pekerja pusat hiburan berkenaan.
“Bermula kelmarin, kita membuat operasi secara besar-besaran ke atas semua pusat hiburan yang melanggar SOP PPN Fasa tiga di bandar raya ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama, Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) turut dijalankan di enam kawasan ‘hotspot’ di enam kawasan pentadbiran Balai Polis iaitu di Balai Polis Luyang, Tanjung Aru, Inanam, Alam Mesra, Manggatal, dan Kota Kinabalu.
“Kita telah melaksanakan enam siri termasuk malam ini OBCJ dilaksanakan dengan tujuan untuk mencegah atau mengekang aktiviti jenayah yang meningkat di enam kawasan berkenaan.
“Hasil OBCJ ini, seramai 12 individu ditahan membabitkan sembilan kesalahan dadah dan tiga kesalahan jenayah. Dalam tempoh OBCJ ini dilaksanakan, trend jenayah telah menurun di keenam-enam ‘hotspot’ yang kita laksanakan OBCJ ini,” jelasnya.
-Deasoka