Kota Kinabalu: Hujan lebat yang melanda daerah ini petang tadi mengakibatkan kejadian tanah runtuh di jalan keluar di Taman Indah Permai, Sepanggar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba memasang sawar dan melakukan kerja-kerja memindahkan batu runtuhan di lokasi kejadian. Gambar ihsan Bomba
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba dan penyelamat terus menutup jalan bagi memastikan tiada individu mendekati runtuhan.
“Selain itu, pasukan bomba juga melakukan kerja-kerja memindahkan batu runtuhan serta memasang sawar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba turut memaklumkan premis berhampiran supaya berwaspada setiap masa dan sentiasa buat pemerhatian untuk tujuan keselamatan.
Katanya, kejadian serah kepada Jabatan Kerja Raya untuk tindakan susulan.
-Deasoka