Bina lebih banyak rumah mampu milik

Bina lebih banyak rumah mampu milik

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Sabah menyarankan supaya pemaju perumahan membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah di negeri ini.

Presidennya, David Chan berkata pemaju perumahan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu mengejar keuntungan, sebaliknya membantu kerajaan membina lebih banyak projek perumahan mampu milik demi manfaat rakyat.

Beliau berkata, pemaju perumahan juga disaran untuk membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

“Pemain industri seperti pemaju perumahan juga seharusnya lebih peka terhadap keadaan ekonomi semasa seterusnya memberi keutamaan dalam membina perumahan, premis perniagaan atau apa sahaja fasiliti bersesuaian yang bukan sahaja mampu dimiliki tetapi juga bermanfaat untuk rakyat.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk tujuan itu seperti rumah mampu milik melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah, di sini, semalam.

David berkata, selain menjalin kerjasama erat dengan pelbagai syarikat dan pemaju perumahan atau hartanah yang beroperasi di negeri ini, pihaknya juga menyokong pengumuman Masiung berhubung hasrat kerajaan untuk membina lebih 10,000 rumah mampu milik di negeri ini.

Katanya, dalam situasi ekonomi yang sangat mencabar ketika ini, adalah lebih praktikal dan baik untuk pemaju perumahan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik berbanding skim perumahan mewah.

“Pastinya rakyat kita di luar sana masih ramai yang belum mampu memiliki kediaman kerana kos untuk membeli rumah adalah sangat mahal.

“Jika perumahan mampu milik dibina dengan lebih banyak, pasti ini satu berita baik dan diharapkan oleh ramai rakyat kita, khasnya di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|