Kinabatangan: Jenazah bekas Ketua Pertubuhan Islam Seluruh (USIA) Bahagian Kinabatangan, Hamidin Radin, 69 selamat dikebumikan berhampiran kediamannya di Kampung Bukit Garam, pagi tadi.
Allahyarham yang juga abang sulung Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Duchess Of Kent Sandakan, petang semalam.
Difahamkan, Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan empat anak dimasukkan ke hospital berkenaan sejak minggu lalu.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham aktif dalam kegiatan dakwah melalui USIA Bahagian Kinabatangan yang beliau terajui sebelum mengundurkan diri kerana faktor kesihatan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin merenjis air di pusara Allahyarham abangnya, Hamidin selepas majlis pengebumian selesai.
Beliau juga adalah seorang yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan khususnya di kawasan Kinabatangan.
Selain Bung Moktar yang juga Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, turut memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar turut merenjis air di pusara Allahyarham Hamidin Radin.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Datuk Juhari Janan dan bekas ADUN Sekong, Datuk Samsudin Yahya.
Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui selepas majlis pengebumian abangnya, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada saudara mara dan rakan yang menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan Allahyarham termasuk mereka yang hadir pada majlis pengkebumian Allahyarham.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama ahli keluarga membaca talkin selepas majlis pengebumian selesai.
“Saya berterima kasih atas ucapan dan doa kepada Allahyarham abang sulung saya, kepada seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir di majlis pengebumian hanya Allah SWT sahaja memberikan ganjaran pahala kepada semua,” katanya.
-Deasoka