Bilik gerakan bencana diaktifkan susulan ketibaan musim tengkujuh – Hajiji

Bilik gerakan bencana diaktifkan susulan ketibaan musim tengkujuh – Hajiji

Papar: Kerajaan negeri mengarahkan semua Bilik Gerakan Bencana di setiap daerah diaktifkan semula sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir berikutan ketibaan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bermula bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu selaras dengan persiapan dilaksanakan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah (JPBD) menghadapi situasi tengkujuh.

Katanya, persiapan yang dilaksanakan merangkumi keperluan aset logistik dan sumber manusia membabitkan kerjasama pelbagai agensi yang sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Semua pusat pemindahan sementara (PPS) juga perlu dikenal pasti lebih awal bagi memastikan kelancaran operasi pemindahan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diingatkan agar memastikan parit dan longkang dibersihkan serta memotong semua pokok yang patut dipotong bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kita tidak mahu apa yang telah berlaku di daerah Penampang padaSeptember yang lalu berulang hanya disebabkan kecuaian atau ketidakpekaan kita terhadap persediaan menghadapi bencana alam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Mangsa Banjir di Mukim Labak, Kinarut, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga sentiasa berhubung rapat dengan kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menyalurkan peruntukan bencana dalam menghadapi Monsun Timur Laut termasuk bantuan wang ihsan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan mengagihkan bantuan wang ihsan berjumlah RM1.383 juta kepada 1,383 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di Penampang dan Kinarut yang terjejas teruk akibat banjir pada September lalu.

Bantuan wang ihsan itu katanya adalah untuk membantu meringankan beban kewangan semua keluarga mangsa banjir sejajar keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat Sabah.

Pada majlis di Kinarut hari ini, Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,000 seorang kepada 100 KIR mangsa banjir bagi kawasan berkenaan.

Mereka adalah sebahagian daripada 446 mangsa banjir di mukim itu yang diberikan bantuan wang ihsan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir pada September
lalu.

“Sejumlah RM446,000 wang ihsan diperuntukkan kepada 446 mangsa banjir di mukim in. Kerajaan sentiasa prihatin dengan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat, lebih-lebih
lagi ketika pandemik Covid-19 ini.

“Penyampaian bantuan wang ihsan pada hari ini bukti kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat di Sabah tanpa mengira kaum mahupun agama.

“Semoga bantuan wang ihsan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung dan memberi kelegaan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

Minggu lalu, seramai 200 daripada 937 KIR mangsa banjir di Penampang bantuan yang turut disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri.

Sempena program itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM300,000 daripada kerajaan negeri untuk menurap kawasan gereja dan dewan St Augustine, Kinarut.

“Ketika masuk ke kawasan gereja dan dewan ini, saya mendapati sekitar kawasan ini masih belum berturap sekali gus tidak memberi keselesaan kepada masyarakat di sini terutama apabila hujan (berlumpur).

“Oleh itu, hari ini saya mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk tujuan ini. Ia bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|