Kaji semula peruntukan Ahli Parlimen – Bung Moktar

Kaji semula peruntukan Ahli Parlimen – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dan menambah jumlah peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan untuk membiayai program pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata peruntukan sedia ada kira-kira RM3.5 juta setahun tidak mencukupi untuk membiayai keperluan pembangunan di sesebuah kawasan Parlimen terutama yang besar seperti Kinabatangan.

“Sebagai contoh kawasan Parlimen Kinabatangan yang saya wakili keluasannya sama seperti negeri Pahang. Dengan peruntukan yang diberikan sudah tentu tidak mencukupi membayai projek pembangunan yang diperlukan oleh rakyat,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata peruntukan yang agak terhad itu menjejaskan usaha Ahli Parlimen untuk memenuhi keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili selain membantutkan usaha kerajaan untuk mentransformasikan kawasan luar bandar terutamanya di Sabah.

Berlandaskan kepada ketidakcukupan itu juga, katanya kerajaan Sabah berharap agar kerajaan persekutuan menambah 10 peratus daripada Bajet 2022 untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu, terutama untuk menangani isu kemiskinan.

“Dengan peruntukan kira-kira RM5 bilion setiap tahun, tidak mencukupi untuk memakmurkan negeri Sabah disebabkan kawasannya yang begitu besar,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata jika Sabah dan Sarawak disatukan, ia boleh menenggelamkan wilayah Semenanjung, menggambarkan betapa besarnya keluasan wilayah dua negeri itu tetapi peruntukan hampir sama dengan negeri lain.

“Ini amat membimbangkan rakyat Sabah. Justeru, saya minta kerajaan melihat semula pengagihan peruntukan secara terperinci antara wilayah Semenanjung, wilayah Sabah dan wilayah Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana masih tidak menyediakan data bank berhubung peruntukan dan projek yang sedang dan akan dilaksanakan di setiap Parlimen.

Katanya, maklumat itu diperlukan untuk melihat dan mengetahui keberkesanan pembangunan tertentu.

“Kalau tidak ada data bank, bagaimana kita hendak tahu keberkesanan pendekatan pembangunan yang diturunkan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam sesi perbahasan itu, Bung Moktar juga menyentuh mengenai peruntukan yang disediakan kerajaan persekutuan agar diserahkan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, ia kerana kerajaan negeri lebih memahami demografi Sabah dan keutamaan serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Jelasnya, jika Sabah diberi peruntukan tetapi diurus oleh kerajaan Pusat, negeri itu tidak akan menjadi negeri yang maju dan makmur seperti Selangor dan Pulau Pinang.

“Sabah berpotensi untuk dibangunkan sekiranya kerajaan persekutuan betul-betul ingin melihat pembangunan yang mampan di negerini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|