Belum putuskan kesebelasan utama: Kurniawan

Belum putuskan kesebelasan utama: Kurniawan

Kota Kinabalu: Barisan kesebelasan utama menentang Sri Pahang FC yang akan diturunkan malam esok di Stadium Likas, di sini, hanya akan diketahui selepas sesi latihan petang ini.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto tidak menolak beberapa rombakan pemain terpaksa dilakukan memandangkan tonggak pertahanan, Rawilson Batuil juga tidak dapat diturunkan selepas dilayangkan kad kuning semasa perlawanan menentang PJ City FC sabtu lalu di Stadium MBPJ.

Kurniawan juga belum memutuskan status penjaga gol utama yang akan diturunkan memandangkan ayah Rozaimie baru meninggal dunia awal pagi tadi di Kuala Lumpur.

“Kita akan berbincang dengan jurulatih penjaga gol, siapa yang akan diturunkan pada aksi malam esok.. perlawanan menentang Sri Pahang FC sangat penting kerana kita sudah kehilangan tiga mata berharga ketika bertemu PJ City FC minggu lalu.

“Saya berharap semua pemain mampu kembali bangkit serta fokus dengan misi meraih kemenangan penting ketika beraksi di Stadium Likas malam esok.

“Kita akan tengok perkembangan semua pemain dalam latihan akhir petang ini.. mengenai kekosongan posisi Rawilson ini ia boleh diisi oleh beberapa pemain lain yang sudah tentunya memiliki prestasi serta komitmen 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa agar semua pemain fokus serta berusaha untuk mencapai kemenangan penting di gelanggang sendiri sekali gus berusaha untuk memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam carta liga.

“Kita pohon supaya semua penyokong Sabah FC terus memberikan sokongan meskipun kali ini beraksi tanpa kehadiran mereka di Stadium Likas Kota Kinabalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|