Buang minuman keras ke laut elak ditahan

Buang minuman keras ke laut elak ditahan

Labuan: Sekumpulan penyeludup bertindak membuang beberapa kotak minuman keras tidak bercukai ke dalam laut selepas kegiatan haram mereka itu dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), awal pagi, hari ini.

Kegiatan berkenaan dikesan anggota PPM Labuan ketika menjalankan satu operasi di perairan laut Sipitang, di sini, jam 3.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, pihaknya terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Labuan menuju ke perairan laut Sipitang tanah besar, Sabah.

Katanya, bot berkenaan kemudian diarah berhenti tetapi tidak diendahkan dan terus memecut laju.

“Bot itu memecut laju dan meloloskan diri dalam keadaan gelap dan gagal dikesan anggota PPM.

“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah kotak minuman keras terapung di permukaan air dipercayai dibuang oleh suspek ketika dikejar anggota PPM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati minuman keras yang tidak bercukai disyaki cuba diseludup ke tanah besar Sabah.

“Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM7,362.36. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|