Bekas pemimpin PCS dipelawa sertai PBRS

Bekas pemimpin PCS dipelawa sertai PBRS

Kota Kinabalu: Semua pemimpin Parti Cinta Sabah (PCS) yang mengumumkan keluar daripada parti itu semalam dipelawa untuk menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pelawaan itu disuarakan Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup selepas mengetahui berita mengenai tindakan bekas pemimpin PCS termasuk beberapa Ketua Bahagian yang membuat keputusan meninggalkan parti itu beramai-ramai semalam.

“Saya selaku Presiden PBRS ingin mempelawa kesemua mereka menyertai PBRS untuk bersama kita dalam usaha menyatupadukan dan memajukan rakyat khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut.

“PBRS merupakan satu-satunya parti tempatan dalam komponen Barisan Nasional (BN) hari ini yang mana kami yakin dan percaya bahawa dalam BN kita akan terus maju ke hadapan, ke arah kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, beberapa pemimpin tertinggi PCS termasuk dua Naib Presiden, Datuk Ewon Ebin dan Amru Abdul Kadir serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Tertinggi, Datuk Kalakau Untol dan beberapa yang lain menyatakan keluar daripada PCS.

Bagaimanapun, dalam maklum balas Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman berhubung tindakan itu, beliau menyifatkannya sebagai lumrah politik selain mendakwa ia disebabkan pemimpin terbabit khuatir tidak terpilih lagi untuk menjawat jawatan penting menerusi rombakan parti dalam masa terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|