Banjir makin pulih, mangsa di PPS dibenar pulang hari ini

Banjir makin pulih, mangsa di PPS dibenar pulang hari ini

Beaufort: Keadaan banjir di daerah ini, termasuk di daerah kecil Membakut dilapor semakin pulih, berikutan paras Sungai Padas dan Sungai Membakut yang sudah turun ke paras waspada dan normal.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, berkata berikutan itu semua mangsa yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak Khamis lalu dijangka dibenarkan pulang hari ini.

Seramai 75 mangsa membabitkan 25 keluarga dari Kampung Brunei, Sungai Damit dan Skim Kampung Brunei ditempatkan di PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir, Beaufort.

Berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Beaufort, keadaan banjir di kediaman penduduk terbabit sudah surut, manakala laluan masuk ke kampung masing-masing juga boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Hasil tinjauan mendapati kawasan perkampungan melibatkan pemindahan kebanyakan tidak digenangi air banjir dan akses jalan raya boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Penilaian agensi, penduduk yang berpindah ke PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir boleh dihantar pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Selain itu, paras air Sungai Membakut ketika ini berada pada paras normal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebanyak 60 kampung termasuk 15 kampung di daerah kecil Membakut dinaiki air sejak Khamis lalu berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan Sungai Padas dan Sungai Membakut melimpah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|