Atasi masalah setinggan mampu lonjak daerah Semporna

Atasi masalah setinggan mampu lonjak daerah Semporna

Semporna: Kerajaan Negeri diminta mempertimbangkan membina lebih banyak rumah bersesuaian dalam usaha menangani permasalahan setinggan di daerah Semporna.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Semporna, Nixon Abdul Habi berkata, sudah tiba waktunya perkara itu diatasi segera bagi menangani isu-isu setempat yang sudah membelenggu rakyat di daerah berkenaan, sebelum ini.

Jelasnya, kawasan rumah setinggan seperti di Kampung Bangau-Bangau, Kg Panji, Kg Air, Kg Simunul serta penempatan pelarian UNHCR yang berhampiran dengan Kg Selamat itu harus diselesaikan segera memandangkan banyak isu timbul dari dahulu termasuklah melibatkan hal keselamatan.

“Antara isu yang sering dikenalpasti adalah isu keselamatan, penyeludupan, dadah, pembaziran utiliti, kawasan kotor akibat sampah sarap, menimbulkan masalah penyakit seperti Covid-19, kolera, malaria dan sebagainya.

“Masalah setinggan ini haruslah dipertimbang untuk diselesaikan segera oleh kerajaan dan menyediakan rumah yang bersesuaian kepada rakyat tempatan ini,” katanya.

Menurut Nixon, pekan daerah Semporna merupakan antara tarikan menarik di kalangan pelancong di negeri ini dan ia ditambah dengan destinasi pelancongan membabitkan pulau yang cantik di sekitar kawasan tersebut.

“Rancangan Malaysia ke-12 yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini perlu memasukkan peruntukkan pembangunan rumah rakyat untuk dinikmati mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kerajaan Negeri juga perlu melihat program PFI untuk mempercepatkan rumah mampu milik dan di Semporna sahaja, 5,000 unit diperlukan untuk mengatasi permasalahan setinggan yang berleluasa di sekitar pekan ini,” katanya.

Beliau menambah, dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang dicanangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pembangunan Keluarga Malaysia oleh Kerajaan Persekutuan mampu melonjakkan prestasi di daerah tersebut dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|