15 peratus remaja sudah terima vaksin

15 peratus remaja sudah terima vaksin

Kota Kinabalu: Seramai 63,826 atau 15 peratus daripada 426,000 remaja berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun di Sabah sudah menerima dos pertama vaksin setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, semalam saja seramai 24,667 remaja dalam lingkungan umur berkenaan menerima vaksin di seluruh negeri.

“Pada hari ini (semalam) sejumlah 24,667 golongan remaja menerima vaksin menjadikan kumulatif penerima vaksin dalam kalangan remaja di Sabah seramai 63,826 orang atau 15 peratus daripada 426,000 remaja berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun di Sabah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Pemberian vaksin dalam kalangan remaja di Sabah bermula pada Khamis lalu sejajar keputusan kerajaan negeri membenarkan golongan berumur 12 tahun hingga 17 tahun divaksin sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah bermula 3 Oktober depan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata setakat 18 September lalu, seramai 2,059,354 atau 72.3 peratus daripada populasi dewasa di Sabah sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin, termasuk dos tunggal CanSino.

Katanya, vaksinasi harian pada tarikh yang sama mencatat sebanyak 51,013 orang menerima vaksin dos pertama, kedua dan dos tunggal CanSino di seluruh negeri.

“Penduduk yang sudah lengkap divaksin setakat ini pula adalah seramai 1,560,178 orang atau 56.6 peratus daripada populasi dewasa di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|