NADMA sarankan pengurusan bencana negeri, daerah diaktifkan

NADMA sarankan pengurusan bencana negeri, daerah diaktifkan

Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat yang dijangka berlaku selama dua hari bermula esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menegaskan, amaran peringkat waspada itu dikeluarkan membabitkan lapan daerah di kawasan pantai barat negeri Sabah.

Katanya, amaran yang dikeluarkan selepas hujan dijangka akan berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari.

“Antara daerah terbabit adalah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah dinasihatkan supaya diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi,” kataya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pihak jawatankuasa juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas.

Selain itu katanya, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga perlu memastikan segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

“Semua Pusat Operasi atau Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan Notis ini ke peringkat Negeri dan Daerah.

“NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat berkenaan bencana dan bantuan pengurusan serta pengoperasian bencana dari semasa ke semasa menerusi talian telefon 03- 80642400, faksimili 03-80635420 dan e-mel opsroom@nadma.gov.my,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di daerah terbabit untuk bersiap-siaga

Katanya, siap siaga itu diaturgerak untuk sebarang kemungkinan berlaku kejadian banjir untuk episod ketiga bulan ini

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|