Antara penemuan ’emas’ dan isu kerosakan jalan raya di Sabah

Antara penemuan ’emas’ dan isu kerosakan jalan raya di Sabah

Kota Kinabalu: Heboh satu Sabah selepas berita penemuan ’emas’ di kawasan pembinaan jalan raya di Kampung Bongkol, Pitas viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ia bukan saja menyebabkan lokasi berkenaan menjadi tumpuan orang ramai, malah turut mendapat perhatian segera pihak berkuasa khususnya Jabatan Mineral dan Geosains.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian, penemuan ’emas’ di Pitas itu membongkar isu kerosakan jalan raya ditanggung rakyat negeri ini yang didakwa tiada penyelesaian berkesan sejak sekian lama.

Malah, ada netizen mendakwa masalah jalan raya di Pitas itu berlaku sejak 50 tahun lalu sebelum diberi perhatian untuk dibina jalan yang lebih baik atau dinaik taraf.

Mereka membandingkan isu itu dengan penemuan ’emas’ di Kampung Bongkol yang mendapat perhatian segera pelbagai pihak hanya selepas beberapa jam diviralkan.

“Kalau cerita jumpa emas cepat betul bertindak tetapi kalau masalah jalan raya sampai berpuluh tahun belum selesai,” antara kata-kata sinis netizen mengenai isu kerosakan jalan raya dihadapi pengguna di Sabah.

Ekoran penemuan ’emas’ itu ramai netizen tampil mendakwa ’emas’ turut ditemui di banyak lagi kawasan jalan raya di seluruh Sabah.

Namun, apa yang dimaksudkan mereka sebenarnya ialah isu kerosakan jalan raya yang sehingga kini belum lagi selesai walaupun sudah banyak kali diadukan.

Tidak dinafikan, keadaan kebanyakan jalan raya di Sabah tidak memuaskan termasuk di laluan utama menghubungkan kawasan pantai timur dan pantai barat seperti Jalan Kota Kinabalu – Sandakan terutama di laluan bermula dari Telupid ke Beluran dan simpang Sandakan.

Paling mengalami kerosakan teruk ialah Jalan Sapulut – Kalabakan sepanjang lebih 100 kilometer yang menghubungkan Keningau – Nabawan – Kalabakan – Tawau.

Difahamkan, Jalan Pitas – Sapi Nangoh yang menghubungkan Kota Marudu – Pitas – Paitan – Beluran – Sandakan turut berdepan banyak kerosakan yang menjejaskan kelancaran pergerakan kenderaan.

Tidak ketinggalan, rungutan juga banyak disuarakan pengguna jalan raya di sepanjang Jalan Papar – Beaufort dan Jalan Beaufort – Sipitang yang mengalami kerosakan disebabkan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Itu belum termasuk lagi jalan raya menghubungkan kampung luar bandar dan kawasan terpencil yang masih banyak bertanah merah atau berbatu kelikir.

Malah, jalan rosak juga banyak dikesan di laluan kawasan bandar termasuk di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, baru-baru ini berkata kerajaan sedar banyak kerosakan jalan raya yang menjejaskan keselesaan pengguna di negeri ini.

Katanya, pelaksanaan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bagi laluan Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid bermula bulan ini adalah antara usaha mempercepatkan penyediaan laluan yang lebih selesa menghubungkan pantai barat dan pantai timur Sabah.

Projek itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu lalu.

Bung Moktar bagaimanapun berkata, Sabah memerlukan dana yang lebih besar untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur negeri ini termasuk jalan raya dan menggesa agar pelaksanaan baki 19 lagi pakej projek Lebuhraya Pan Borneo dilaksanakan serentak supaya dapat dipercepatkan penyiapannya.

Sementara itu, tentu ramai kecewa apabila penemuan ’emas’ di tapak pembinaan jalan raya di Kampung Bongkol, Pitas sebenarnya bukan emas tetapi sebaliknya ialah ’emas tipu’.

Pakar geologi yang meneliti ’emas’ terbabit mengesahkan ia adalah batu ‘pirit’ iaitu sejenis mineral berkilat berwarna keemasan yang melekat pada batuan.

Penemuan mineral ‘pirit’ bukan perkara baharu di Sabah kerana sebelum ini penduduk di Kota Belud pernah kecoh dengan penemuan ’emas’ pada batuan yang dibawa banjir lumpur selepas gempa bumi berpusat di Gunung Kinabalu pada Jun 2015.

Batuan baharu dari Gunung Kinabalu yang dihanyutkan ke Sungai Kadamaian itu kelihatan berkilau seperti emas, namun pakar geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul ketika itu mengesahkan ia adalah ’emas tipu’.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|