Anak muda digalakkan sertai Gotong Royong Perdana Penampang

Anak muda digalakkan sertai Gotong Royong Perdana Penampang

Penampang: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Penampang berharap penduduk setempat terutamanya anak muda akan menyertai Gotong Royong Perdana anjuran Pejabat Daerah Penampang.

Ketua Penerangan Armada Penampang, Gordon Horace Chin berkata, Gotong Royong Perdana berkenaan membabitkan 54 kampung di seluruh Penampang.

Katanya, ia dijadualkan akan dilancarkan pada 20 November depan di Dewan Raya Ambrose Dumpangol di Kampung Koidupan, Tinduuzon, sini, pada jam 7.30 pagi.
 
“Armada Penampang berharap anak-anak muda Penampang akan bersatu-padu untuk menyertai gotong-royong ini.

“Kami juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai Daerah, Francis Chong atas usaha mulia beliau menganjur program ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan RM200 kepada semua 54 kampung terlibat dalam program Gotong Royong Perdana berkenaan yang diterima oleh Penolong Pegawai Daerah, Stanley Sikolis.

Sumbangan berjumlah RM10,800 itu diberikan oleh Naib Ketua Armada Nasional, Ceasar Mandela Malakun, merangkap Ketua Armada Penampang.

Sementara itu, Gordon turut menyampaikan mesej daripada Ceasar bahawa gotong-royong ini adalah satu platfom yang baik untuk memupuk rasa tanggungjawab dan kerjasama di dalam komuniti.

Katanya, Armada Penampang berbangga untuk menyumbang dan menyertai program ini bukan untuk sebab-sebab politik, tetapi kerana cintakan Penampang.
 
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada NGO, parti politik, individu dan sukarelawan yang membantu usaha pemulihan pasca banjir di Penampang terutamanya kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ketua menteri menyumbangkan lebih RM1 juta kepada mangsa banjir di Penampang termasuk RM1,000 bagi setiap keluarga terkesan dan pembinaan semula rumah yang musnah akibat banjir.

“Ini adalah bukti kukuh bahawa Datuk Seri Hajiji adalah Ketua Menteri yang benar-benar prihatin terhadap rakyat Penampang,” katanya.
 
Dalam pada itu, Stanley turut mengucapkan terima kasih kepada Armada Penampang serta seluruh kepimpinan Bersatu Bahagian Penampang serta Srikandi Penampang sayap wanita atas sumbangan dan sokongan yang berterusan.
 
Katanya, sumbangan daripada pemimpin anak muda kelahiran Penampang ini adalah amat dialu-alukan dan didahulukan dengan ucapan terima kasih.

“Selain mampu memberi satu galakan moral dan motivasi bagi seluruh kampung untuk menjayakan gotong-royong ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri atas segala bantuan dan keprihatinan yang telah diberi kepada warga Penampang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|