STB bantu promosi pelancongan budaya

STB bantu promosi pelancongan budaya

Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bekerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) untuk mencari strategi baharu bagi mempromosikan pelancongan berasaskan budaya, khususnya di luar bandar.

Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pelancongan berasaskan budaya boleh membantu merancakkan sektor pelancongan di negeri ini jika dipasarkan secara efektif.

“Kita perlu mencari pendekatan strategik bagaimana STB dan LKNS boleh bekerjasama kerana kedua-dua agensi saling melengkapi.

“Sebagai contoh, kita boleh mempamerkan kraftangan dan tarian kebudayaan kepada pengunjung sebelum mereka melakukan aktiviti ‘trekking’ di pusat pelancongan luar bandar.

“Kita juga harus mencari jalan untuk menggalakkan orang ramai, khususnya pelancong asing melancong ke daerah luar bandar dan seterusnya melawat pusat kebudayaan sedia ada,” katanya.

LKNS yang diketuai Pengerusinya, Datuk Titing Putang, sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Joniston untuk membincangkan promosi pelancongan kebudayaan.

Dalam perjumpaan itu, LKNS antara lain membangkitkan keperluan untuk mempromosikan Pusat Kebudayaan Murut di Tenom.

Pusat kebudayaan yang dibuka pada 1996 itu adalah kedua terbesar selepas Pusat Kebudayaan Penampang.

Sebelum ini, kira-kira 10,000 pengunjung melawat pusat berkenaan setiap tahun dengan kira-kira 200 daripadanya adalah pelancong asing.

Titing berkata kawasan pedalaman mempunyai banyak tarikan pelancongan, terutama dari segi budaya tetapi promosinya kurang mendapat sambutan.

“Pusat Kebudayaan Murut menampilkan muzik tradisional dan pakaian tradisi daripada 13 sub-etnik Murut tetapi semua itu hanya sia-sia jika tiada sesiapa yang melihatnya. Jika ada pelancong yang datang, ia pasti memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau turut bersetuju betapa pentingnya kerjasama bagi mewujudkan pakej pelancongan berasaskan budaya yang lebih berkesan bersama-sama dengan eko-agropelancongan di Tenom dan Keningau.

Beliau menambah LKNS juga bekerjasama dengan masyarakat Tiong Hua di kedua-dua daerah itu untuk membantu mempromosikan budaya mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|