Piala Malaysia 2021: Sabah masih ada peluang ke separuh akhir

Piala Malaysia 2021: Sabah masih ada peluang ke separuh akhir

Melaka: Sabah masih berpeluang melangkah ke separuh akhir sekiranya berjaya menewaskan Melaka United FC dalam aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Skuad Sang Badak itu ada masa 90 minit lagi untuk menidakkan kemenangan 1 – 0 yang dilakar Melaka ketika aksi pertama suku akhir di Stadium Likas, pada Ahad lalu.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan anak buahnya untuk mempamerkan aksi terbaik dan mencipta kejutan ke atas Melaka malam ini.

Malah, beliau yakin pihak lawan kini lebih tertekan berbanding pasukan bimbingannya kerana Melaka United bermain di tempat sendiri.

“Saya jangkakan saingan sengit akan berlaku dan percaya ini memberi lebih tekanan kepada Melaka United..

“Jika kita berjaya menjaringkan gol, ia akan meletakkan tekanan kepada Melaka. Peluang masih terbuka, kita mempunyai 90 minit ataupun 120 minit untuk bertarung,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kim Swee berkata apa yang penting semua pemain perlu bermain mengikut apa yang sudah dirancang selain sentiasa bersiap sedia tanpa mengira siapa saja yang akan diturunkan.

“Game plan amat mudah bagi saya. Kita tewas 1 – 0 di Stadium Likas dan Sabah FC perlukan gol untuk layak.

“Jadi perancangan untuk esok (malam ini), lita perlu mendapatkan gol tetapi pada masa sama kita tidak harus terburu-buru dan perlu memastikan agar kita juga tidak dibolosi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|