Abu Sayyaf sentiasa dipantau – Hazani

Abu Sayyaf sentiasa dipantau – Hazani

KOTA KINABALU: Polis Sabah sentiasa memantau kegiatan kumpulan militan Abu Sayyaf yang dikesan masih aktif untuk menyelinap masuk ke negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi memantau kumpulan berkenaan bagi mengelakkan ia memasuki sempadan negeri ini.

“Tidak dinafikan hasil risikan mendedahkan masih ada cubaan (kumpulan militan Abu Sayyaf) masuk di sempadan negara.

“Kita sentiasa memantau kegiatan kumpulan ini dengan kerjasama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta pasukan keselamatan Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi Taklimat Kawalan Keselamatan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di IPK Sabah, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, jam 11.27 pagi, pasukan keselamatan berjaya menembak mati lima anggota kumpulan militan Abu Sayyaf termasuk seorang sub leader yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina dikenali sebagai Mabar Binda semuanya berusia antara 20-an dan 40-an.

Di kawasan yang sama juga pada 8 Mei lalu, pasukan keselamatan berjaya menahan lapan anggota kumpulan militan Abu Sayyaf termasuk dua yang dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina, dalam operasi jam 3 pagi yang mana polis turut menahan 29 lagi individu warga Filipina.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|