72 calon STPM 2020 di Sabah peroleh PNGK 4.0

72 calon STPM 2020 di Sabah peroleh PNGK 4.0

Kota Kinabalu: Seramai 72 calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 di Sabah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata jumlah itu meningkat seramai 21 orang berbanding 51 orang pada tahun 2019.

“Gred Purata Nilai Kumulatif (GPNK) Negeri juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 2.71 berbanding 2.67 bagi tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred manakala perbezaan GPNK antara negeri dan negara adalah sebanyak 0.07 mata gred pada tahun 2020 berbanding tahun 2019 sebanyak 0.10 sekaligus menunjukkan perbezaan GPNK semakin mengecil,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mistirine memaklumkan seramai 7,409 orang calon sekolah sudah menduduki peperiksaan STPM pada tahun lalu.

Menurut beliau, menerusi jumlah itu, seramai 7,330 orang calon mendapat keputusan lulus penuh atau 98.93 peratus berbanding seramai 6,956 orang calon
atau 98.86 peratus pada tahun 2019.

“Hal ini menunjukkan peningkatan pencapaian peratus lulus negeri sebanyak 0.07 peratus.

“Dalam pada itu, sebanyak 98 buah sekolah kerajaan iaitu melibatkan 102 buah pusat peperiksaan STPM 2020.

“25 buah pusat peperiksaan terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 99.46 peratus manakala 77 buah sekolah di luar bandar mencapai lulus sebanyak 97.44 peratus.

“Ia memperlihatkan jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar iaitu 2.02 peratus,” katanya.

Kredit gambar: Facebook Pejabat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|