48,300 dos suntikan harian tertinggi di Sabah

48,300 dos suntikan harian tertinggi di Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak 48,300 dos vaksin diberikan kepada penerima vaksin di Sabah, kelmarin iaitu yang tertinggi berjaya dicapai menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah, setakat ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu menjadikan sebanyak 374,214 dos vaksin berjaya diberikan kepada penerima vaksin dalam tempoh 10 hari bermula 21 Julai hingga 31 Julai lalu.

“Bekalan vaksin yang banyak bagi Sabah hanya diterima dalam tempoh 10 hari terakhir Julai. Bermula 21 Julai hingga 31 Julai, kita berjaya memberi 374,214 dos vaksin.

“Pencapaian harian tertinggi ialah 48,300 dos pada 31 Julai. Kita amat berharap bekalan vaksin terus diterima mengikut jadual dan jumlah yang diperuntukkan kepada Sabah pada Ogos,” katanya, di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Sabah dijadual menerima 1.2 juta dos vaksin sepanjang Ogos, manakala kira-kira sejuta dos diterima pada Julai lalu.

Kerajaan negeri sebelum ini turut mendesak agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menghantar vaksin secara konsisten selain menambah jumlah sedia ada bagi mempercepat pemberian vaksin di Sabah.

Selain vaksin dua dos, Sabah turut memohon vaksin dos tunggal CanSino dengan sebanyak 1.8 juta dos dijangka dihantar ke negeri ini berdasarkan persetujuan dinyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|