30.1 peratus penduduk Sabah lengkap dua dos vaksin

30.1 peratus penduduk Sabah lengkap dua dos vaksin

Kota Kinabalu: Sabah mencapai 30.1 peratus daripada penduduk dewasanya menerima vaksin lengkap Covid-19 sehingga semalam, manakala 52.4 peratus penduduk menerima satu dos vaksin setakat ini.

Secara keseluruhan, lebih 850,000 populasi dewasa di Sabah sudah menerima vaksin lengkap dua dos suntikan, manakala kira-kira 1.47 juta orang baru menerima satu dos suntikan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pada hari ini saja sebanyak 16,563 suntikan dos pertama vaksin diberikan kepada orang ramai melalui fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi suntikan dos kedua, katanya sebanyak 24,726 dos berjaya diberikan kepada penerima vaksin di seluruh negeri melalui fasa kedua PICK.

“Pendaftaran penerima vaksin pada hari ini pula ialah seramai 10,049 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar di Sabah setakat ini sebanyak 1,523,955 bersamaan 55.3 peratus daripada populasi negeri ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sabah hari ini mencatat 2,474 kes baharu Covid-19 dengan 25 kematian iaitu 12 kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Tawau, masing-masing dua kes di Papar, Penampang, Beaufort dan Putatan, manakala Keningau dan Tambunan masing-masing mencatat satu kes.

Seramai 1,743 pesakit pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 4,774 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,343 orang di hospital, 3,400 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara, manakala 12 orang di fasiliti swasta.

Masidi berkata, bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini pula ialah seramai 181 orang, manakala seramai 83 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|