27 rumah atas air di Pulau Bum-Bum, musnah terbakar

27 rumah atas air di Pulau Bum-Bum, musnah terbakar

Semporna: Lebih 100 penghuni Kampung Tabunan, Pulau Bum-Bum, di sini, hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di perkampungan atas air berkenaan, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, sekurang-kurangnya 27 rumah berstruktur kayu dilaporkan musnah terbakar selepas api marak terlalu cepat dipercayai disebabkan faktor angin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) atas air dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Tindakan operasi pemadaman dijalankan menggunakan pam angkut, tiga aliran dengan empat pancutan menggunakan sumber air perigi.

“Api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 3.57 petang dan seterusnya kerja-kerja pemadaman punca-punca api diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengalami kesukaran semasa operasi pemadaman api disebabkan keadaan air laut surut.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi ditamatkan pada jam 4.20 petang dan sebanyak 11 rumah berjaya diselamatkan dalam operasi ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|