2,118 banduan terima vaksin CanSino di Penjara Pusat Kota Kinabalu

2,118 banduan terima vaksin CanSino di Penjara Pusat Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Seramai 2,118 banduan di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, menerima vaksin dos tunggal CanSino yang diberikan menerusi program jangkauan luar vaksinasi Covid-19.

Program itu dikendalikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), baru-baru ini.

Pengarah Hospital UMS (HUMS), Prof Dr Helen Benedict Lasimbang, berkata seramai 12 petugas dihantar menyertai program itu yang diketuai Pegawai Perubatan HUMS, Dr Mohammad Hazamyn Hazrul Hamzah.

“Program jangkauan luar vaksinasi Covid-19 untuk banduan di Penjara Pusat Kota Kinabalu itu diadakan selama lima hari ini membabitkan seramai 2,118 banduan menerima vaksin jenis CanSino.

“Selain Penjara Pusat Kota Kinabalu, program vaksinasi juga diadakan di Penjara Wanita Kota Kinabalu semalam (13 September 2021), Lokap Kota Kinabalu hari ini (14 September 2021) dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) bermula esok hingga 17 September,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Helen berkata satu lagi pasukan UMS diketuai Pegawai Perubatan HUMS, Dr Rishaini Elengovan memberikan vaksinasi Covid-19 kepada penduduk Kampung Sepakat Jaya di Sepanggar hari ini.

Katanya, pemberian vaksinasi di kampung itu membabitkan kira-kira 200 penduduk.

“Bagi pihak UMS, kita sentiasa komited untuk membantu dalam usaha kerajaan negeri menjayakan misi pemberian vaksinasi ke arah mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini

“Program jangkauan luar yang dilaksanakan di pelbagai tempat menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri untuk memastikan usaha mencapai sasaran imuniti kelompok tercapai,” katanya.

Sebelum ini, UMS turut menjayakan program vaksinasi kepada penduduk di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Kota Kinabalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|