Pesakit Covid-19 diburu

Pesakit Covid-19 diburu

Kinabatangan: Polis Kinabatangan melancarkan operasi memburu seorang pesakit Covid-19 warga emas yang menghilangkan diri, sejak semalam.

Lelaki berusia 69 tahun itu disedari melarikan diri kira-kira jam 11 pagi selepas gagal mengesan pesakit terbabit di rumahnya di Kampung Kuala Tongod, di sini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati, pasukan klinik kesihatan Tongod pergi ke rumah pesakit terbabit untuk dibawa ke Hospital Sandakan.

Bagaimanapun katanya, suspek ketika itu dilihat sedang mengemaskan barang-barang di luar rumahnya.

“Bagaimanapun, semasa pasukan berkenaan kembali semula ke rumah suspek, rumah berkenaan didapati berkunci dan tidak berpenghuni.

“Pasukan Klinik Kesihatan Tongod kemudian balik semula ke klinik untuk menunggu suspek tiba namun gagal dikesan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulbaharin berkata, sehingga kini, kedudukan suspek masih tidak diketahui dan dikhuatiri akan menjangkiti orang awam sekiranya suspek terus melarikan diri.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) / Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana keengganan seseorang yang dijangkiti untuk mematuhi arahan atau perintah.

“Usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang dijalankan oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dzulbaharin berkata, polis akan melengkapkan siasatan dan merujuk kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut.

Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat juga diminta supaya disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan menerusi talian 089-561890.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|