13 kes HMFD dikesan di Lahad Datu

13 kes HMFD dikesan di Lahad Datu

Lahad Datu : Sebanyak 13 kes membabitkan wabak penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) telah dikesan di daerah ini sehingga semalam.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu, daripada jumlah itu sebanyak empat kes HMFD dilaporkan berlaku di lokaliti Kampung Sapagaya Hilir dan dua kes di kawasan Taman Aman Jaya.

Manakala, tujuh lagi adalah melibatkan kes sporadik yang dikesan di beberapa lokaliti sekitar daerah ini yang kebanyakan menjangkiti kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah.

“Tujuh lokaliti tersebut adalah melibatkan Kampung Epil, Kampung Lamak, Kampung Segama, Kampung Tambisan Darat, Kampung Teck Guan, Ladang Boonrich dan Pancuran Tengah Nipah dengan masing-masing satu kes dikesan,” kata kenyataan itu dalam hantaran di Facebook rasminya semalam.

Sehubungan itu, aktiviti Kawalan seperti siasatan kes, lawatan ke rumah kes dan juga Active Case Detection pada ketika ini sedang giat dijalankan.

Kenyataan itu turut berkata, bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang diambil, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan lima amalan yang perlu dilakukan.

“Orang ramai khususnya ibu bapa, penjaga, pengasuh atau cikgu diminta mengamalkan penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran dan pemeriksaan atau saringan di pintu masuk di taska, tabika atau pra-sekolah dan sekolah dan disinfeksi atau nyahkuman dipermukaan tercemar.

“Selain itu, turut dinasihatkan supaya mengehadkan membawa kanak-kanak ke tempat awam termasuk taman permainan, menaiki pengangkutan awam atau pasar bagi mengurangkan risiko kanak-kanak mendapat jangkitan HFMD,” katanya.

Orang ramai diminta dapatkan rawatan segera sekiranya kanak-kanak mempunyai gejala seperti demam, ulser di mulut serta ruam di bahagian tangan dan kaki.

Sebelum ini, empat kanak-kanak berusia dua hingga lapan tahun dilaporkan dijangkiti HMFD di Lahad datu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|