10 agensi barisan hadapan terima momento sempena Hari Kebangsaan

10 agensi barisan hadapan terima momento sempena Hari Kebangsaan

Kota Kinabalu: Sebanyak 10 agensi barisan hadapan di Sabah menerima momento penghargaan daripada kerajaan negeri Sabah sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, hari ini.

Momento berkenaan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada upacara sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pagi ini.

Penerima momento didahului Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah.

Agensi lain ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Sabah yang mewakili semua badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Momento ditandatangani Ketua Menteri Sabah itu mengandungi kata-kata penghargaan kepada barisan hadapan yang dinukil khas bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan semua barisan hadapan di Sabah yang terbabit secara langsung menangani pandemik COVID-19.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri diadakan secara sederhana mengikut SOP ditetapkan dengan kehadiran yang terhad.

Selain penyampaian momento, program itu turut diisi dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang yang disempurnakan petugas dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bacaan ikrar yang disempurnakan 11 wakil petugas barisan hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|