PGA tahan empat pemburu haram, rampas 3 bakakuk

PGA tahan empat pemburu haram, rampas 3 bakakuk

Tenom: Tindakan empat lelaki dipercayai melakukan aktiviti berburu haiwan secara haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani Tenom, di sini mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, semalam.

Mereka berusia antara 18 hingga 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut disertai pegawai Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pasukan operasi turut merampas tiga laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama 17 butir peluru.

Katanya, semua suspek dikesan ketika menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan menuju ke hutan simpan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan yang berasal daripada perkampungan berhampiran.

“Mereka dipercayai masuk ke hutan simpan untuk tujuan aktiviti pemburuan haram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, keempat-empat suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua rampasan termasuk empat motosikal dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM 20,970.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|