Semporna berpotensi sebagai hub pelancongan dunia

Semporna berpotensi sebagai hub pelancongan dunia

Semporna: Daerah Semporna berpotensi menjadi hub pelancongan dunia berdasarkan keindahan alam semulajadi maritim di pulau sekitarnya yang setanding dengan pulau peranginan terkenal dunia.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Askalani Abdul Rahim, berkata keindahan maritim di daerah ini adalah anugerah semulajadi untuk dihayati, dimajukan, dijaga dan diambil faedahnya.

Askalani ketika menyampaikan ucapannya. Pix ihsan Jabatan Penerangan

Katanya, kelebihan itu boleh dimanfaatkan oleh penduduk, kerajaan dan pemaju pelancongan dengan pemantauan pihak kementerian serta jabatan berkaitan.

“Semporna layak dan berpotensi menjadi hub pelancongan dunia seperti Pulau Hawaii, Pulau Mauritius dan Pulau Canary.

Ratu Lepa merakam gambar selepas persembahan. Pix ihsan Jabatan Penerangan

“Selain Pulau Sipadan, terdapat juga beberapa pulau lain misalnya Pulau Mabul, Pulau Timba-Timba, Pulau Pandanan, Pulau Pompom, Pulau Bohe’an, Pulau Mataking dan Pulau Kulapuan yang boleh dimajukan untuk menjadi pusat tarikan pelancong bertaraf dunia.

“Dalam konteks ini, Taman-Taman Sabah melakukan banyak tindakan proaktif untuk kelestarian alam sekitar di Semporna yang sekali gus bakal menjadi tarikan kepada industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Laut Bajau Semporna 2021 dan Pemilihan Pulau Mabul, sebagai Pintu Gerbang Pelancongan Bertaraf Dunia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil dan Pengerusi Pesta Laut Etnik Bajau dan Pesta Regatta Lepa 2021, Datuk Hajan Gurimbang.

Selain itu, Askalani berkata Semporna juga memiliki kelebihan tersendiri berdasarkan penemuan arkeologi yang mengesahkan wujud kehidupan prasejarah di daerah ini pada zaman lampau.

Jelasnya, pengkaji arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri Sabah mengiktiraf kewujudan penempatan prasejarah itu di Bukit Tengkorak, Malanta Tutup dan Bukit Kemiri.

“Difahamkan melalui kajian arkeologi itu, Bukit Tengkorak adalah pusat pembuatan tembikar dan dapur tanah liat terbesar di Asia Tenggara sekitar 4,000 tahun yang lalu.

“Lebih menarik, tembikar dan dapur tanah liat yang dikenali sebagai ‘lapohan’ dari kawasan ini tersebar hingga ke kepulauan Solomon di utara Australia,” katanya.

Kelebihan yang dimiliki Semporna, katanya mendorong kerajaan negeri giat mempromosi bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di daerah ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|