Kenyataan pemimpin WARISAN berbaur provokasi – Mustapha Sakmud

Kenyataan pemimpin WARISAN berbaur provokasi – Mustapha Sakmud

Kota Kinabalu: Kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) baru-baru ini yang membidas kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai berbaur provokasi untuk membuka ruangan kepada polemik politik yang melemahkan kesekapatan pembangkang diterajui PH.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Mustapha Sakmud berkata, kenyataan-kenyataan itu hanya ingin memperlekehkan usaha PH dalam memastikan kestabilan politik negara.

“Kita menghormati pendirian pimpinan dan Ahli-ahli Parlimen Warisan yang tidak mahu terlibat secara langsung menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Pusat dan PH.

“Untuk rekod pimpinan PH tidak pernah mengasak atau mengejek pemimpin-pemimpin Warisan kerana tidak turut sama menandatangani MoU tersebut.

“Apa yang dibuat ialah pimpinan PH membuka ruang kepada pimpinan Warisan untuk mempertimbangkan MoU tersebut untuk kebaikan rakyat yang tersepit dengan tekanan ekonomi yang merudum disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha PH Sabah berkata, pendekatan yang sama juga dibuat di peringkat negeri apabila PH Sabah mengemukakan Agenda Reformasi Sabah kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita bersemuka dengan pimpinan utama Warisan dan menerangkan dengan jelas justifikasi cadangan tersebut dan memohon pertimbangan wajar.

“Kita menghormati pandangan pimpinan Warisan untuk tidak mahu terlibat dan PH Sabah meneruskan misi mengangkat Agenda Reformasi Sabah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Tidak ada sebab untuk kita mengasak apa lagi mengejek pimpinan Warisan kerana tidak turut terlibat sebab kita percaya dengan politik nilai dan matang demi kebaikan rakyat di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrel Leiking dan Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari membidas kenyataan Ketua Setiausaha PH yang dilaporkan dalam beberapa portal baru-baru ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|