Seludup minyak petrol, tiga lelaki ditahan

Seludup minyak petrol, tiga lelaki ditahan

Semporna: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan minyak petrol bersubsidi dalam operasi di sebuah stesen minyak di pekan daerah ini, kelmarin.

Dalam operasi jam 8 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 32 tahun terbabit dikesan sedang giat mengisi minyak petrol ke dalam gelen yang dibawa.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati, semua individu terbabit gagal menunjukkan sebarang permit kelulusan pembelian dan pengisian dalam kuantiti yang banyak.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua ketiga-tiga suspek terus ditahan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, polis turut merampas lapan gelen dengan isi padu 25 dan 33 liter yang berisi minyak petrol bersubsidi bersama dua kereta sorong yang dibawa.

“Ketiga-tiga suspek dan barang rampasan terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.

“Kes kemudiannya diserahkan kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Mohd Farhan berkata, pihaknya turut berjaya merampas 18 gelen berisi minyak petrol dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Air Hujung, di sini.

Katanya, dua lelaki yang berada di rumah berkenaan bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyedari awal kehadiran pihak berkuasa.

“Semua minyak petrol berkenaan yang dipercayai cuba diseludup berjaya dirampas bersama sebuah bot dan dua enjin sangkut.

“Semua hasil rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan kawalan barang kawalan supaya melaporkan kepada polis untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|