ADUN Usukan tampil beri cadangan tangani isu kenaikan harga barang

ADUN Usukan tampil beri cadangan tangani isu kenaikan harga barang

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak tampil memberi beberapa cadangan bagi menangani isu kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat ketika ini.

Beliau berkata, negara ketika ini dihujani cabaran lebih-lebih lagi saat mencapai fasa endemik dan kenaikan harga barang asas menjadi satu keutamaan untuk kerajaan atasi agar masyarakat tidak terbeban.

Katanya, isu kenaikan harga dedak antara penyumbang kepada kenaikan harga ayam namun kerajaan kini mengambil langkah mengapungkan harga barang keperluan tersebut demi rakyat dan ini merupakan langkah terbaik buat masa terdekat.

“Untuk jangka masa panjang, perkara ini boleh diatasi dengan program menanam jagung berskala besar. Petani dan pekebun setiap negeri boleh memperkasakan tanaman jagung sekaligus membantu negara untuk meningkatkan pengeluaran.

“Di Sabah misalnya, kita boleh perkasakan industri pertanian kerana mempunyai tanah yang luas dan iklim yang sesuai. Namun, banyak perkara perlu diteliti dari segi logistik, kos dan tenaga buruh untuk memastikan ia lancar,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya semalam.

Beliau turut berkata, antara perkara lain yang boleh dilakukan untuk mengatasi kenaikan harga barang ialah untuk membanteras aktiviti pencatutan dan monopoli.

“Peraturan dan perundangan yang lebih kuat dan berkesan agar tiada salah guna kuasa berlaku.

“Selain itu, bantuan secara terus ‘one off’ seperti diberikan Perdana Menteri sebelum ini perlu berterusan dan bersasar. Hal ini sangat membantu kerana kos perbelanjaan bulanan rakyat dianggarkan meningkat dari RM100 hingga RM200 sebulan.

“Justeru, untuk menampung kos sara hidup yang meningkat bantuan tunai adalah penyelesaian yang paling cepat dan berkesan,” katanya.

Tambah Salleh lagi, negara jangan terlalu fokus kepada pasaran eksport kerana ia merupakan faktor utama menyumbang kepada gaji rendah dan negara juga bergantung kepada tenaga pekerja asing.

“Saya percaya dengan polisi dan dasar yang sistematik dan kukuh, ekonomi akan terus berkembang. Negara juga akan makin pulih dan membangun. Yang penting ialah semua pihak saling bantu bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|